Sastera

                                 







Arahan: Membaca kuat teks prosa dan puisi dengan sebutan dan intonasi yang betul dan lancar serta memahami perkara yang dibaca




CERITA TELADAN: Si Tanggang

        Si Tanggang dilahirkan dalam kalangan keluarga miskin yang tinggal di pinggir hutan. Si Talang dan Si Deruma ialah bapa dan ibu kepada Si Tanggang. Mereka hidup sebagai keluarga nelayan di tepi pantai. Dia selalu berkhayal untuk menjadi kaya dan terkenal. Pada suatu hari Si Tanggang terlihat sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang pergi mencuba nasib, dia berjumpa dengan nakhoda kapal itu dan meminta untuk dijadikan anak kapalnya. 


       Walaupun Si Talang dan Si Deruma amat keberatan untuk melepaskan Si Tanggang belayar mengikut kapal nakhoda itu, mereka terpaksa mengalah. Si Tanggang berjanji akan kembali ke kampung setelah menjadi kaya. Si Tanggang melakukan apa sahaja kerja yang diperintahkan oleh Nakhoda. Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Lalu, Si Tanggang pun diambil sebagai anak angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia dipanggil "Nakhoda Tanggang". Dia menjadi kaya raya dan namanya menjadi sangat terkenal hingga sampai ke telinga Sultan lalu dijemput ke istana. Tidak lama selepas itu, Si Tanggang berkahwin dengan seorang puteri raja. 


      Pada suatu hari, Si Tanggang telah keluar belayar isterinya berjalan. Kebetulan dia telah singgah di kampung halaman tempat asal-usulnya. Maka, ibubapanya yang telah lama tidak ditemui mendapat tahu tentang kedatangan seorang saudagar yang memiliki ciri-ciri anak mereka yang hilang lalu pergi menyiasat. Setelah pasti itulah Si Tanggang, mereka cuba merapatinya dengan membawa makanan hutan kegemarannya semasa kecil dahulu.


        Si Tanggang sedar bahawa orang yang datang itu adalah ibubapa kandung yang telah membesarkannya dahulu tetapi beliau terasa malu hendak mengaku di hadapan orang ramai terutama isterinya yang cantik rupawan lagi bangsawan. Isteri Si Tanggang telah menyuruhnya menerima kedua orang tua yang datang itu. Katanya, apa salah mengaku ibu bapa kandung sendiri tak kiralah seburuk mana pun rupa mereka. Rupa-rupanya kata-kata ini telah membuat Si Tanggang terasa lebih malu dan tersinggung. Beliau mula mengeluarkan kata-kata kesat dan sumpah seranah menyuruh orang tua itu pergi. 

Dalam keadaan hati hancur luluh dihina begitulah si ibu lalu menadah tangan kepada Ilahi seraya berdoa..


''kalau betullah pemuda di hadapannya adalah Si Tanggang yang pernah dikandungnya selama 9 bulan lebih, maka buktikanlah dengan menukarkan segalanya menjadi batu."


        Tiba-tiba petir berdentum dan angin bertiup kencang. Kapal Si Tanggang terumbang-ambing akibat air yang bergelora. Ketika itulah, Si Tanggang berasa kesal. Dia sedar Tuhan telah memperkenankan doa ibunya. Dia akan menerima balasannya kerana telah menderhaka. Akhirnya, dia berteriak kepada ibunya supaya diampun. Akan tetapi, penyesalannya sudah tidak berguna lagi. Kapalnya pecah akibat dipukul oleh ombak yang kuat. Apabila ribut reda, Si Tanggang, isterinya, kapalnya, dan semua anak kapalnya telah bertukar menjadi batu.


                         


Arahan: Baca dengan kuat sajak di bawah dengan sebutan dan intonasi yang betul serta lancar.




Sajak: Nenek Tua

Nenek tua,
kuli mukamu berkedut,
jejarimu kecut,
redup matamu sejuk, 
memancarkan kasih sayang,
maha agung.




                       



Nenek tua,
tempatmu bukan di kaki lima,
menjual kuih-muih,
mencari sesuap nasi.


Nenek tua, 
dulu engkau ibu bahagia,
menjaga anak-anak kecil,
kini anak-anakmu sudah dewasa,
sibuk dengan kerja di kota,
khabarnya semuanya menjadi pegawai,
namun engkau dan desa jarang dijenguk,
terabailah engkau di pondok sunyi.




  




Arahan|: Baca dan fahami isi petikan. Kemudian, nyatakan isi-isi penting yang terdapat dalam petikan di bawah.



CERITA TELADAN: Batu belah, batu bertangkup







Kononnya, pada waktu dahulu 
ada sebuah gua ajaib di   daerah sambas. Gua ini digelar batu belah batu bertangkup dan amat ditakuti oleh ramai penduduk kampung. Pintu gua ini boleh terbuka dan tertutup bila diseru dan sesiapa yang termasuk ke dalam gua itu tidak dapat keluar lagi.

Suatu masa dahulu di sebuah kampung yang bernama pemangkat yang berdekatan dengan gua ajaib ini, tinggal Mak Tanjung bersama dua orang anaknya, Melur dan Pekan. Mak Tanjung asyik bersedih kerana baru kehilangan suami dan terpaksa menjaga kedua-dua anaknya dalam keadaan yang miskin dan daif.

Pada suatu hari, Mak Tanjung teringin makan telur ikan tembakul. Dia pun pergi ke sungai untuk menangkapnya. Bukan main suka hatinya apabila dapat seekor ikan tembakul.

"Wah, besarnya ikan yang mak dapat !" teriak Pekan kegembiraan.

" Ya, ini ikan tembakul namanya. Mak rasa ikan ini ada telurnya. Sudah lama mak teringin untuk memakan telur ikan tembakul ini," kata Mak Tanjung. Mak Tanjung terus menyiang ikan tembakul itu. Dia pun memberikan kepada Melur untuk dimasak gulai.

" Masaklah gulai ikan dan goreng telur ikan tembakul ini. Mak hendak ke hutan mencari kayu. Jika mak lambat pulang, Melur makanlah dahulu bersama Pekan. Tapi, jangan lupa untuk tinggalkan telur ikan tembakul untuk mak," pesan Mak Tanjung kepada Melur.

Setelah selesai memasak gulai ikan tembakul, Melur menggoreng telur ikan tembakul pula. Dia terus menyimpan sedikit telur ikan itu di dalam bakul untuk ibunya. Melur dan Pekan tunggu hingga tengah hari tetapi ibu mereka tidak pulang juga. Pekan mula menangis kerana lapar. Melur terus menyajikan nasi, telur ikan dan gulai ikan tembakul untuk dimakan bersama Pekan.

" Hmmm..sedap betul telur ikan ini," kata Pekan sambil menikmati telur ikan goreng.

" Eh Pekan, janganlah asyik makan telur ikan sahaja. Makanlah nasi dan gulai juga," pesan Melur kepada Pekan.

" Kakak, telur ikan sudah habis. Berilah Pekan lagi. Belum puas rasanya makan telur ikan tembakul ini ," minta Pekan.

" Eh, telur ikan ini memang tidak banyak. Nah, ambil bahagian kakak ini," jawab Melur.

Pekan terus memakan telur ikan kepunyaan kakaknya itu tanpa berfikir lagi. Enak betul rasa telur ikan tembakul itu! Setelah habis telur ikan dimakannya, Pekan meminta lagi.

" Kak, Pekan hendak lagi telur ikan," minta Pekan kepada Melur.

" Eh , mana ada lagi ! Pekan makan sahaja nasi dan gulai ikan. Lagipun, telur ikan yang tinggal itu untuk mak. Mak sudah pesan dengan kakak supaya menyimpankan sedikit telur ikan untuknya ," kata Melur.

Namun, Pekan tetap mendesak dan terus menangis. Puas Melur memujuknya tetapi Pekan tetap berdegil. Tiba-tiba, Pekan berlari dan mencapai telur ikan yang disimpan oleh Melur untuk ibunya.

" Hah, rupa-rupanya ada lagi telur ikan! " teriak Pekan dengan gembiranya.

" Pekan! Jangan makan telur itu! Kakak simpankan untuk mak," teriak Melur.

Malangnya, Pekan tidak mempedulikan teriakan kakaknya, Melur dan terus memakan telur ikan itu sehingga habis. Tidak lama kemudian, Mak Tanjung pun pulang. Melur terus menyajikan makanan untuk ibunya.

" Mana telur ikan tembakul, Melur? " tanya Mak Tanjung.

" Err... Melur ada simpankan untuk mak, tetapi Pekan telah menghabiskannya. Melur cuba melarangnya tetapi...."

" Jadi, tiada sedikit pun lagi untuk mak? " tanya Mak Tanjung.

Melur tidak menjawab kerana berasa serba salah. Dia sedih melihat ibunya yang begitu hampa kerana tidak dapat makan telur ikan tembakul.

" Mak sebenarnya tersangat ingin memakan telur ikan tembakul itu. Tetapi...." sebak rasanya hati Mak Tanjung kerana terlau sedih dengan perbuatan anaknya, Pekan itu.

Mak Tanjung memandang Melur dan Pekan dengan penuh kesedihan lalu berjalan menuju ke hutan. Hatinya bertambah pilu apabila mengenangkan arwah suaminya dan merasakan dirinya tidak dikasihi lagi. Mak Tanjung pasti anak-anaknya tidak menyanyanginya lagi kerana sanggup melukakan hatinya sebegitu rupa.

Melur dan Pekan terus mengejar ibu mereka dari belakang. Mereka berteriak sambil menangis memujuk ibu mereka supaya pulang.

" Mak, jangan tinggalkkan Pekan! Pekan minta maaf ! Mak...." jerit Pekan sekuat hatinya.

Melur turut menangis dan berteriak, " Mak, Kasihanilah kami! Mak!"

Melur dan Pekan bimbang kalau-kalau ibu mereka merajuk dan akan pergi ke gua batu belah batu bertangkup. Mereka terus berlari untuk mendapatkan Mak Tanjung. Malangnya, Melur dan Pekan sudah terlambat. Mak Tanjung tidak mempedulikan rayuan Melur dan Pekan lalu terus menyeru gua batu belah batu bertangkup agar membuka pintu. Sebaik sahaja Mak Tanjung melangkah masuk, pintu gua ajaib itu pun tertutup. Melur dan Pekan menangis sekuat hati mereka di hadapan gua batu belah batu bertangkup. Namun ibu mereka tidak kelihatan juga.

Dan sampai sekarang tempat itu disebut tanjung batu yang terletak di Kecamatan Pemangkat.




















No comments:

Post a Comment